PROTON Preve adalah bukti akan kemampuan PROTON setakat ini dalam usahanya bersaing pada pelbagai peringkat pasaran global.
“Dengan model ini, apa yang PROTON cuba nyatakan adalah model ini akan menjadi permulaan baru bagi kami, iaitu antara lain memperkenalkan arah baru reka bentuk produk dari segi kualiti dan keselamatan yang mampu bersaing di pelbagai pasaran dunia,” katanya pada majlis pelancaran model itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Kembangan, semalam.
Syed Zainal berkata, sebagai permulaan, pihaknya memperuntukkan 20 peratus daripada jumlah pengeluaran Preve untuk pasaran eksport.
“Selain pasaran domestik, Preve akan dieksport ke luar negara, dengan Indonesia sebagai destinasi pertamanya pada Julai atau Ogos ini, sebelum memasuki Thailand, Australia, United Kingdom dan Asia Barat,” katanya.
Preve, yang kini boleh didapati di semua bilik pameran Proton Holdings di seluruh negara, ditawarkan dalam tiga varian, iaitu standard eksekutif transmisi manual, standard eksekutif transmisi automatik dan spesifikasi premium transmisi automatik.
Versi standard eksekutif transmisi manual menggunakan enjin 1.6 liter IAFM Continuous Variable Transmission (CVT) lima kelajuan, dan tujuh kelajuan untuk versi automatik, sementara versi spesifikasi premium pula menggunakan enjin 1.6 liter Caj Keberkesanan Minyak (CFE) turbo dengan CVT Protonic tujuh kelajuan.
Model baru itu ditawarkan pada harga RM59,990 seunit bagi versi standard eksekutif transmisi manual, RM62,990 bagi automatik standard eksekutif CVT, dan RM72,990 seunit bagi versi premium.
SPESIFIKASI: Proton Preve
Enjin 1.6 liter turbo ringan menghasilkan kuasa sama 2.0 liter enjin biasa
138 kuasa kuda, kilasan 205Nm
Sistem butang penghidup enjin untuk Premium
Stering kuasa hidrolik
Brek ABS dengan EBD
Dwi beg udara SRS untuk semua varian dan beg udara sisi untuk Premium saja
Dilengkapi dengan sambungan 4G WiFi dan sistem navigasi GPS
Sistem audio dengan pemain CD MP3 dengan Bluetooth, USB dan sambung iPod
Warna pilihan Blue lagoon, Fire red, Genetic silver, Solid white, Tranquility black, Elegant brown
Kesemua varian didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km
Tiga varian : Premium (harga dari RM72,990), Eksekutif CVT (harga dari RM62,990), Eksekutif (harga dari RM59,990)